Wira tak didendang, TPM rakam penghargaan kepada wartawan
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan penghargaan di atas sumbangan wartawan di atas pembangunan negara dan masyarakat.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah juga menyifatkan wartawan sebagai wira yang tidak didendang.
“Kepada semua wartawan yang sering jadi wira tidak didendang, penghargaan saya kepada semua rakan-rakan pengamal media.
“Terima kasih diatas segala sumbangan ke arah pembangunan negara dan masyarakat madani,” katanya dalam satu video yang dimuat naik dalam laman media sosialnya sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 yang disambut hari ini.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO seterusnya menyeru wartawan untuk terus berkarya dan menyajikan informasi yang berkualiti.
“Amalkan etika kewartawan dalam persekitaran dunia tanpa sempadan ini. Selamat menyambut hari wartawan,” katanya.