Ancaman kepada negara, laporan polis dibuat terhadap kumpulan Sulu
KUALA LUMPUR – Satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud ke atas penuntut-penuntut warga Filipina terhadap Malaysia yang mendakwa waris Jamalul Kiram II.
Sekretariat Khas Sulu dalam satu kenyataan berkata, laporan polis yang dibuat di ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini adalah susulan daripada tindakan tuntutan yang difailkan oleh penuntut melalui Notis Timbang Tara yang diserahkan kepada Kerajaan Malaysia pada 30 Julai 2019 membabitkan anggaran tuntutan melebihi AS$32 bilion.
“Tuntutan ini adalah satu ancaman kepada keselamatan negara. Rentetan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan Kumpulan Royal Sulu Force (RSF) sebagai entiti pengganas yang terbabit dalam tragedi pencerobohan di Sabah pada 2013,” katanya.
Sekretariat Khas Sulu berkata salah seorang penuntut iaitu Fuad A Kiram juga telah diklasifikasikan sebagai pengganas di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Penggubalan Wang Haram Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLAATFUAA) pada 6 April 2023.
“Objektif laporan polis ini dibuat adalah dengan mengambil kira wujudnya elemen sabotaj ke atas ekonomi dan ancaman kepada keselamatan negara melalui tindakan agresif penuntut yang dipercayai bersubahat dengan menyalahguna proses timbang tara antarabangsa.
“Susulan daripada laporan ini, dipercayai satu siasatan jenayah akan dimulakan oleh pihak berkuasa demi menjamin keamanan, keselamatan dan kestabilan negara,” katanya.
Pada 30 Julai 2019, satu notis timbang tara diserahkan kepada kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri dengan anggaran tuntutan melebihi AS$32 bilion.
Walaupun tidak mengiktiraf tuntutan tersebut, Kerajaan Malaysia telah memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Sabah yang mana penuntut tidak hadir ke prosiding berkenaan.