Menteri Pengangkutan arah Malindo Air mohon maaf kepada penumpang
KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengarahkan syarikat penerbangan Malindo Air membuat permohonan maaf kepada penumpang yang ditangguhkan penerbangan selama lapan jam baru-baru ini.
Anthony dalam ciapan di akaun Twitternya berkata, beliau telah menghubungi Malindo Air dan telah meminta supaya syarikat penerbangan tersebut menghubungi semua penumpang yang terlibat.
“Salam Saudara Firdaus, saya dah hubungi pengurusan @malindoair. Mereka akan hubungi semua penumpang yang terjejas untuk memohon maaf dan mengambil tanggungjawab,” katanya malam tadi.
Baru-baru ini tular perkongsian video rakaman di laman TikTok yang berkongsikan pengalaman penumpang ‘naik angin’ kepada kakitangan Malindo Air yang bertugas di kaunter selepas penerbangan Batik Air (Malindo) ditangguhkan tanpa notis.
Lebih menimbulkan kemarahan penumpang apabila penangguhan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bintulu pada Jumaat lalu itu dilakukan tanpa sebarang pampasan penginapan hotel seperti sepatutnya.
Seorang pengguna Twitter @matpijan yang marah dengan kejadian itu mengajak nitizen memboikot syarikat penerbangan itu kerana tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.
“So Malindo Air hanya akan hubungi pelanggan mereka selepas menteri campur tangan. Jadi kalau menteri tak call. Malindo Air akan buat tak tahu? Boikot Malindo Air!
@Wengbt berkata, syarikat penerbangan dan agensi kerajaan berkenaan sepatutnya lebih bersedia menghadapi perkara seperti itu tanpa perlu melibatkan campur tangan menteri.