Berita SemasaPM X

Hasrat PM cetak, edar satu juta al-Quran ke seluruh dunia sudah dimulakan

KUALA LUMPUR – Cetakan dan edaran naskhah al-Quran ke seluruh dunia seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Januari lepas sudah dimulakan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, daripada jumlah satu juta naskhah yang diumumkan tersebut, sebanyak 25,000 naskhah telah dicetak, manakala 40,000 naskhah lagi kini dalam proses percetakan yang terdiri daripada tafsir dalam bahasa Cina, Tamil, Inggeris dan bahasa Nigeria.

“Setakat ini al-Quran yang dicetak telah diagihkan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara antaranya ke Kemboja pada 27 Mac lepas dengan sebanyak 1,500 naskhah diedarkan dan agihan selebihnya akan diselaraskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui saluran yang ditentukan,” katanya.

Shamsul Anuar berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2023 yang kemudiannya diluluskan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Cetakan dan edaran al-Quran tersebut diumumkan Pedana Menteri ketika melawat Pameran Seni al-Quran dan Himpunan Artifak Dunia Islam Terbesar anjuran Yayasan Restu di Kompleks Nasyrul Quran pada 27 Januari lalu.

Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Anwar berkata, ia adalah sebagai satu tindak balas terhadap insiden pembakaran kitab suci itu di Sweden.

Beliau turut menambah, pendekatan itu lebih berfaedah sebagai langkah menyebarkan kefahaman mengenai al-Quran supaya kandungannya dapat dihayati semua pihak tanpa mengira latar belakang fahaman dan agama.

Show More

Related Articles

Back to top button