Jenayah & Mahkamah

Peguam terkenal, Hisyam Teh ketuai rayuan Siti Bainun

KUALA LUMPUR – Peguam terkenal, Datuk Hisyam Teh Poh Teik akan mengetuai pasukan pembelaan dalam rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down, Bella.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor ketika pengurusan prosiding permohonan rayuan penangguhan sabitan dan hukuman penjara di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache.

“Saya dan seorang lagi peguam, iaitu Mohammad Farhan Maaruf akan bekerjasama dengan Datuk Hisyam dalam rayuan itu kelak,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Pada 3 Mei lalu, Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan Siti Bainun, 31, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dua pertuduhan tersebut.

Pada masa sama mahkamah turut menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, Siti Bainun menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Kajang bermula tarikh disabitkan dengan kesalahan.

Show More

Related Articles

Back to top button