Operasi kesan 3 kru kapal MT Pablo masuk hari kedua
JOHOR BAHRU – Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) tiga lagi kru kapal tangki MT Pablo yang dilaporkan terbakar memasuki hari kedua hari ini.
Operasi yang dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dibahagikan kepada 4 sektor dan telah diperluaskan sehingga 71 batu nautika persegi dari tempat kejadian.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) yang juga Pemangku Ketua Pengarah APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, seramai 136 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi ini.
Katanya, sebuah pesawat udara AW139 milik APMM bersama 9 buah aset laut dari APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Laut Malaysia dan Pelabuhan Johor serta Pasir Gudang terlibat dalam operasi berkenaan.
“Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Satyam Tripathi, 26 dan Dinesh Kumar Chauhan, 34 masing-masing merupakan warganegara India, manakala, seorang lagi mangsa ialah Sabit Shenderovsky, 37 warganegara Ukraine”
“Seramai 25 orang kru MT Pablo berjaya diselamatkan. Daripada jumlah berkenaan 4 orang kru mengalami kecederaan serius di tangan, pinggang dan kaki.
“Kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan di sana.
“Sehingga waktu ini aset yang terlibat di dalam Op Carilamat ini sedang mempergiatkan usaha untuk mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa yang masih belum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Semalam, kapal tangki MT Pablo yang berdaftar dari Gabon, Afrika dengan jumlah 28 orang kru terdiri daripada warganegara India, Ukraine, Rusia dan Pakistan sedang dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura sebelum terbakar di kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili pada sekitar pukul 3 petang.