Berita Semasa

Rombongan bawa balik rakyat Malaysia dari Sudan tempuh perjalanan sejauh 1300km

SEPANG – Rombongan yang membawa 30 rakyat Malaysia yang terperangkap di Khartoum, Sudan terpaksa menempuh perjalanan mencabar dan berliku selama 30 jam dengan mengharungi jalan sepanjang 1,300 km sebelum selamat tiba ke tanah air.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Sudan, yang juga ketua kepada rombongan tersebut, Mohamad Razdan Jamil, cabaran terbesar buat mereka adalah tempoh perjalanan itu sendiri.

Katanya, perjalanan yang mengambil masa 30 jam itu dirancang dengan teliti berdasarkan penilaian yang dilakukan terhadap keadaan jalan yang bakal dilalui.

Duta Besar Malaysia ke Sudan, Mohamad Razdan Jamil menghadiri sidang media selepas pulang bersama 30 rakyat Malaysia di hadapan pintu masuk VIP Lounge, Aras lima Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

“Kita pilih laluan yang kurang berisiko dan memutuskan untuk guna jalan yang panjang berbanding jalan yang pendek.

“Masalah utama kita adalah keadaan jalan. Kita perlu pastikan pemandu yang kita upah adalah dalam kalangan penduduk di situ yang mana sangat susah untuk kita cari.

Related Articles

“Untuk memberi gambaran betapa mencabarnya perjalanan 1,300 km itu setiap 50 hingga 80 km akan ada pusat pemeriksaan dan kita tidak tahu siapa yang berkuasa di pusat pemeriksaan itu tapi Alhamdulillah sepanjang perjalanan ini ia dikuasai oleh tentera kerajaan.

“Dengan menaiki enam buah bas kita dilindungi oleh konvoi dari kerajaan UAE bagi mengelakkan kita menjadi sasaran pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF),”

Berapa lama kita berada di atas jalan kita tidak tahu. Kita terpaksa berhenti walaupun rancangan asalnya kita tidak mahu berhenti tapi kita terpaksa bermalam kerana jalannya berlubang dan sudah rosak, malah ada kereta yang terjatuh ke lereng jalan dan kawasan itu boleh kena serang hendap jadi lebih selamat bergerak pada waktu siang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita tiba dari Sudan bersama 30 rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sementara itu, Zambry mengingatkan mana-mana pihak yang mahu pergi ke Sudan untuk menangguhkan perjalanan mereka susulan konflik di negara berkenaan yang masih belum reda.

Katanya, keadaan perang yang berlaku secara tiba-tiba itu menyebabkan semua pihak dalam keadaan terpinga-pinga dan berada dalam keadaan tidak bersedia.

Keadaan di Sudan pada ketika ini berada di tahap bahaya selepas pergolakan yang berterusan melanda negara itu, akibat pertempuran di antara Angkatan Tentera Sudan dengan RSF.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu lalu, seramai 460 orang terbunuh dan 4,063 lagi cedera dalam konflik di Sudan dan angka berkenaan dijangka akan meningkat.

Show More

Related Articles

Back to top button