Berita Semasa

Tanah runtuh: Kerajaan sediakan 19 kediaman sementara tempatkan kakitangan SPRM

KUALA LUMPUR – Sebanyak 19 unit kediaman sementara disediakan kerajaan untuk menempatkan semua kakitangan dan pegawai Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Selasa lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamad berkata, bagi memastikan akademi itu beroperasi dengan baik, kerajaan telah bersetuju menyediakan kediaman termasuk beberapa kemudahan kerajaan lain berhampiran akademi itu.

“Saya bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (Datuk Seri Hasnol Zam Zam) dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Jabatan Kerja Raya (JKR) (Zulkipli Nasri) buat keputusan untuk beri kemudahan penginapan kepada mereka yang terlibat.

“Jadi kita sediakan 19 rumah untuk pindahkan mereka ke kawasan berdekatan tempat kerja mereka. Buat masa ini, kita tidak benarkan mereka tinggal di sini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi runtuhan hari ini.

Sebelum ini, MACA telah mengosongkan seluruh kawasan akademi itu dengan memindahkan 45 individu susulan kejadian tanah runtuh tersebut pada kira-kira 1.30 tengah hari, Selasa lepas.

Related Articles

Ia melibatkan 22 pegawai, 16 pekerja pembersihan dan tujuh penghuni kuarters termasuk keluarga pegawai yang dipindahkan dari bangunan MACA ke kawasan selamat.

Sementara itu, Zulkapli berkata, satu jalan alternatif juga dibina buat sementara waktu bagi memudahkan pegawai terlibat menjalankan tugas seperti biasa serta untuk mengeluarkan kenderaan MACA dari kawasan akademi itu dengan kerja-kerja pembinaan dijangka mengambil masa dua minggu.

Selain itu, katanya kerja-kerja pemasangan alat pengesan pergerakan tanah di lokasi runtuhan dilakukan bermula hari ini bersama-sama kerja-kerja pembersihan runtuhan.

“Kita akan pasang sensor untuk pantau sama ada pergerakan tanah atau tidak. Dari situ kita akan buat reka bentuk yang betul dan dalam sesingkat mungkin akan cuba buat balik akses sebagaimana sedia ada… bergantung kepada keadaan tanah,” katanya memetic laporan Bernama.

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button