Berita Semasa

‘Air dan darah dalam badan sudah kering’ – Ibu mangsa

Kanak-kanak 11 tahun mangsa pertama strok haba

CYBERJAYA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dari Kelantan menjadi mangsa pertama strok haba apabila dilaporkan meninggalkan dunia pada Selasa lepas.

Laporan portal Sinar Harian menyebut, mangsa, Muhamad Syamil Aqil, meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di sebuah klinik pada pukul 9.27 pagi.

Ibu mangsa yang dikenali sebagai Wanie berkata, hasil bedah siasat dilakukan mengesahkan anak lelaki sulung daripada tiga beradik itu maut akibat strok haba dan dehidrasi.

“Doktor merawat memberitahu buah pinggang, jantung anak sudah hangus. Di dalamnya sudah kosong, air dan darah dalam badan sudah kering,” kata Wanie dalam laporan tersebut.

Dalam pada itu, Wanie berkata anak lelakinya itu dilihat aktif berbasikal ketika menyambut Aidilfitri pada hari raya pertama dan kedua.

Bagaimanapun, beliau berkata pada raya ketiga, anaknya mengalami demam biasa dan cirit birit.

“Saya memantau suhu badan anak setiap satu jam sekali, namun ia tidak tinggi hanya sekitar 37 hingga 38 darjah.

“Hari raya keempat selepas Subuh, anak kelihatan lemah. Saya kemudian mengajak suami membawanya ke klinik, tetapi tiba-tiba anak mengalami kekejangan,” katanya.

Wanie berkata, selepas anaknya menghembuskan nafas terakhir di klinik, jenazahnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat.

Mangsa merupakan pelajar Tahun 5, Sekolah Kebangsaan (SK) Perupok itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai, selepas Isyak pada hari sama.

Sementara itu, Ketua Polis Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berkaitan kes terbabit.

Show More

Related Articles

Back to top button