Berita Semasa

Mohd Amran Mat Zain diumumkan Ketua Hakim Syarie baharu

PUTRAJAYA – Datuk Mohd Amran Mat Zain diumumkan sebagai Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Pengumunan berkenaan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada program Majlis Iftar Jama’ie Persatuan Pegawai Syariah Malaysia bersama anak-anak yatim di sini, hari ini.

Menurut Mohd Na’im, beliau amat yakin dengan kewibawaan Mohd Amran untuk menerajui JKSM dalam usaha meneruskan kecemerlangan jabatan tersebut.

“Berpandukan kepada pengalaman luas serta kelayakan yang dimiliki, pihak kementerian amat yakin dengan kewibawaan beliau untuk menerajui JKSM dalam usaha meneruskan kecemerlangan jabatan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin mengucapkan tahniah dan berharap Mohd Amran dapat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Amran memiliki kelulusan ljazah Sarjana Muda Syariah (Kepujian), Universiti Malaya dan ljazah Sarjana Undang-Undang LLM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pada masa yang sama, beliau turut memiliki Diploma Lepasan liazah (Pentadbiran dan Perundangan Islam), UIAM.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Syariah di Biro Bantuan Guaman Wilayah Persekutuan, selain pernah bertugas sebagai Pendaftar di JKSM dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Selain itu, beliau juga turut mempunyai pengalaman selama 29 tahun dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Syariah apabila mula menyertai perkhidmatan awam sejak tahun 1994.

Sebelum ini, beliau menjawat jawatan Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM, Hakim Mahkamah Tinggi Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Ketua Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Jawatan terakhir beliau di JKSM adalah sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Show More

Related Articles

Back to top button