Politik

Wilayah Malaysia tidak terbuka untuk rundingan

Muhyiddin kecam Anwar

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengecam kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan keterbukaan Malaysia untuk berunding dengan China berhubung kebimbangan mengenai aktiviti cari gali oleh Petronas di Laut China Selatan sebagai cuai dan dan secara tidak langsung memperakui tuntutan China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, malah kawasan cari gali Petronas yang dirujuk oleh Perdana Menteri adalah dalam wilayah Malaysia dan tidak boleh dirundingkan walaupun dituntut oleh negara China.

“Malaysia mesti tegas mempertahankan kedaulatan wilayah dan keselamatan negara bagi melindungi hak dan tuntutan wilayah negara. Kenyataan Perdana Menteri tentang keterbukaan Malaysia untuk berunding ke atas hak wilayahnya telah mengundang risiko ancaman kedaulatan negara.

“Kenyataan Perdana Menteri yang dibuat di Parlimen ini adalah amat lemah, amat tidak bertanggungjawab dan kelihatan seperti menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada kuasa asing,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar dalam ucapannya di Dewan Rakyat mengenai lawatan rasminya ke China baru-baru ini berkata Petronas akan meneruskan aktivitinya di kawasan itu dan terbuka kepada rundingan dengan Beijing berhubung kebimbangan negara tembok besar itu.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menegaskan hak wilayah Malaysia tidak terbuka untuk rundingan “walaupun ia dituntut oleh China”.

“Keduanya, Perdana Menteri juga membuat kenyataan berikut di Dewan Rakya tentang kehadiran kapal dan sebagainya, itu diterangkan oleh negara China. Itu perairan antarabangsa. Akan tetapi pihak kementerian luar akan terus memantau dan sekiranya ada pelanggaran, akan mengeluarkan bantahan.

“Dalam soal kehadiran kapal tentera laut China di kawasan perairan yang turut dituntut oleh tujuh negara termasuk Malaysia tetapi didakwa oleh China sebagai perairan antarabangsa, Perdana Menteri sepatutnya tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara seperti yang termaktub dalam peta Malaysia 1979.

“Sehingga kini, kawasan pertikaian di Laut China Selatan masih belum diputuskan dan ASEAN juga tidak mencapai konsensus mengenai pertindihan tuntutan di Laut China Selatan. Perlu diingat bahawa ASEAN menolak pengiktirafan 9 Dash Line yang dituntut oleh negara China, termasuk dalam wilayah perairan Malaysia,” tegasnya.

Sementara itu menyentuh mengenai pertindihan tuntutan, Muhyiddin berkata, sebarang perbincangan mesti dibuat selaras dengan Konsensus ASEAN dan South China Sea Code of Conduct.

“Sementara Malaysia mengiktiraf negara China sebagai kuasa ekonomi global, kedaulatan negara kita tidak boleh dikompromi sama sesekali. Mengambil kira kedudukan ASEAN sebagai gabungan sepuluh buah negara, Malaysia mestilah menangani isu maritim antarabangsa secara lebih berwaspada berpandukan prinsip kedaulatan negara dan Gagasan ASEAN,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button