Jenayah & Mahkamah

Sindiket bekal PATI kaut untung RM5 juta setahun tumpas

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen telah berjaya menumpaskan satu sindiket membekalkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan pelekat palsu Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang didalangi oleh warga asing dalam operasi khas yang dijalankan pada 5 dan 6 April lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam operasi itu pihaknya telah menyerbu sebuah kilang dan asrama pekerja asing di Selangor serta pejabat operasi sindiket yang terletak di kawasan Brickfields, Kuala Lumpur.

“Dalam serbuan tersebut pasukan operasi telah menahan seramai 65 orang PATI melibatkan 43 orang lelaki warganegara India, 20 orang lelaki warganegara Bangladesh dan 2 orang lelaki warganegara Pakistan yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun.

“Dalang utama sindiket seorang lelaki warganegara India turut berjaya ditahan. Hasil semakan awal mendapati suspek yang berusia 45 tahun itu memegang Pas Ekspatriat yang tulen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat dan pengakuan daripada suspek ini, pasukan operasi telah bergerak ke Seremban dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang merupakan orang kanan sindiket.

Katanya, semakan mendapati suspek yang berusia 30 tahun ini menggunakan PLKS untuk bergerak bebas di negara ini.

“Modus operandi sindiket ialah dengan menubuhkan syarikat yang membekalkan tenaga kerja asing dan menawarkan tenaga kerja kepada majikan serta kilang yang memerlukan pekerja.

“Sekiranya dipersetujui, sindiket akan membekalkan pekerja asing tadi yang telah diberikan pelekat PLKS palsu.

“Ini bertujuan supaya majikan atau kilang mempercayai bahawa mereka merupakan pekerja yang sah berdasarkan pelekat yang tertera di pasport,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, sindiket akan mengenakan bayaran sebanyak RM6000 untuk setiap pekerja warga asing yang inigin mendapatkan PLKS bagi membolehkan mereka bekerja di kilang tersebut.

Katanya, sindiket ini dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM4.5 hingga RM5 juta setahun hasil kegiatan haram yang dilakukan.

“Kesemua yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta AMLATFPUAA 2001. Mereka semua ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button