Sewa bazar Ramadan Putrajaya dikurangkan kepada RM850 – PM
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar sewa lot bazar Ramadan Presint 3 di sini, diturunkan dari RM1,000 kepada RM850 kepada penjaja dan peniaga kecil di bawah Perbadanan Putrajaya.
Katanya, ia adalah sebagai inisiatif kerajaan bagi mengurangkan bebanan kumpulan itu yang terpaksa menanggung kos tambahan RM150 berbanding kadar sewa yang ditetapkan pada tahun-tahun sebelum ini.
“Saya dapati Perbadanan Putrajaya telah menaikkan kadar sewa bagi bazar Ramadan Putrajaya di Presint 3 kepada RM1,000 bagi setiap lot.
“Bagi membantu para penjaja dan peniaga kecil kos mengurangkan kos operasi, sukacitanya saya umumkan pengurangan kadar sewa ini kepada RM850 sebulan sebagaimana tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Jualan Agro Rahmah Bazar Ramadan Presint 3, di sini pada Khamis.
Yang hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Bin Ayub; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali; dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Foong Hin.