Berita Semasa

Kerajaan teliti cadangan ‘gaji kehidupan wajar’

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil maklum dan sedang meneliti cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung ‘gaji kehidupan wajar’ sebagai usaha meningkatkan gaji yang ditawarkan kepada graduan di negara ini.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud, berdasarkan laporan BNM pada 2018, kadar gaji wajar untuk individu adalah RM2,700, pasangan tanpa anak RM4,500, manakala pasangan dua anak RM6,500.

“Sehubungan itu, kerajaan perlu mengkaji model sesuai yang terbaik untuk negara. Bagi penetapan gaji siswazah pula adalah berdasarkan penawaran dan permintaan.

“Bagaimanapun, kadar gaji yang setimpal dengan tahap pendidikan, kemahiran dan pengalaman boleh dirunding dengan pihak majikan melalui kontrak perkhidmatan dan perundingan perjanjian kolektif bagi pekerja melalui kesatuan sekerja,” katanya dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Negara, Datuk John Ambrose berhubung inisiatif kementerian bagi meningkatkan taraf hidup graduan selain berkaitan gaji minimum.

Tambah Mustapha, kadar gaji juga perlu selari dengan jenis pekerjaan dan bukan semata-mata kelayakan supaya kadar gaji tersebut setimpal dengan kemahiran dan produktiviti kerja. 

“Bahkan dalam ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sewaktu menandatangani memorandum transformasi TVET pada 16 Mac lalu, beliau menyarankan pemain industri dan majikan menawarkan gaji permulaan sekurang-kurangnya RM3,000 untuk graduan TVET,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, pihak kementerian sedang berusaha memeterai beberapa memorandum kerjasama dengan pelbagai industri bagi memastikan graduan memperoleh gaji yang setimpal. 

“Kita mahu gaji ditawarkan oleh majikan sesuai dengan tenaga mahir yang ada, jadi usaha sama yang awal itu perlu dibuat melalui memorandum kerjasama,” katanya lagi. 

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button