Berita Semasa

Ab Rauf mulakan tugas sebagai Ketua Menteri Melaka

MELAKA – Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini memulakan tugas hari pertama di Seri Negeri di sini selepas dilantik menjadi Ketua Menteri Ke-13 pada Jumaat lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara yang tiba pada pukul 7.33 pagi tadi secara simbolik telah melakukan pengimbasan cap jari pada sistem biometrik kehadiran di Pejabat Ketua Menteri.

Kehadiran beliau disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Maslina Baki.

“Alhamdulillah, tepat jam 7.33 pagi ini saya mula mengimbas cap jari pada sistem kehadiran biometrik sebagai simbolik memasuki hari pertama di Pejabat Ketua Menteri, di Seri Negeri.

“Kehadiran saya disambut oleh YB Wira Datuk Zaidi Bin Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; YB Datuk Salhah Salleh, Pegawai Kewangan Negeri Melaka; YBhg. Datuk Maslina Baki, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan); YBrs. Encik Badaruddin Mohd Kassim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan); dan Ketua-Ketua Jabatan dan kakitangan di Jabatan Ketua Menteri Melaka.

“Saya kemudian memasuki pejabat sebentar, sebelum mendapatkan taklimat awal oleh Datuk Wira Zaidi di pejabat saya. Semoga hari kita dipermudahkan. Insya-Allah,” katanya menerusi kiriman Facebook pada Isnin.

Pada Jumaat, Ab Rauf mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT).

Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka itu dibuat bagi menggantikan menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang meletak jawatan atas alasan kesihatan.

Show More

Related Articles

Back to top button