Politik

Tidak wajar persalahkan pegawai jika gagal jawab soalan di Parlimen

KUALA LUMPUR – Isu timbalan menteri gagal menjawab soalan di Parlimen tidak sepatutnya timbul kerana pegawai yang dipertanggung jawabkan sudah bersedia dengan soalan dan jawapan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, bayangan seolah-olah pegawai menteri yang bersalah dalam isu ini juga tidak wajar kerana ia sudah menjadi rutin yang perlu dilaksanakan.

“Untuk makluman, soalan (daripada Ahli Parlimen) sudah diserahkan kepada kementerian masing-masing beberapa minggu sebelum sidang Parlimen dimulakan.

“Tidak patut timbul isu tiada jawapan, kerana para pegawai kementerian akan sediakan draf asas jawapan kepada isu yang dibangkitkan, dan tugasan ini dipantau oleh KSU (Ketua Setiausaha,” kata Ahmad Amzad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kegagalan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying menjawab soalan berkenaan isu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di Dewan Rakyat, Isnin lepas.

Untuk rekod, Ahmad Amzad pernah menjawat Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di bawah pentadbiran terdahulu.

“Perkara sebegini (gagal menjawab soalan) tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang timbalan menteri. Ini sesuatu yang memalukan kerajaan,” katanya lagi.

Tambahnya, kegagalan sedemikian akan menimbulkan persepsi dalam kalangan rakyat bahawa menteri dan timbalan menteri tidak pandai buat kerja.

“Saya tidak terkejut sekiranya timbul desakan (dalam kalangan masyarakat) supaya kalau tak tahu buat kerja, tak payah pegang jawatan dan lepaskan pada orang lain,” kata Ahmad Amzad lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button