Jenayah & Mahkamah

Abai 5 ekor kucing hingga mati, jurujual dipenjara dua tahun, denda RM50,000

KUALA LUMPUR – Seorang jurujual dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan didenda RM50,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa selepas didapati bersalah mengabaikan lima kucing peliharaannya sehingga mati kebuluran.

Tertuduh, Lim Chia Lin, 31, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Sekiranya gagal mambayar denda berkenaan, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara setahun.

Mengikut pertuduhan, Chia Lin didakwa mengabaikan kucing peliharaannya yang diletakkan di dalam kurungan dengan tidak memberikan makanan dan minuman sehingga menyebabkan kematian.

Chia Lin didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah unit kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini, antara 14 Jun dan 3 Julai 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(D) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Chia Lin yang tidak diwakili peguam walaubagaimanapun merayu agar dikenakan denda yang minimum kerana dia berpendapatan rendah.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurhani Mohmed Ayub berkata, tertuduh bertindak pulang ke kampungnya di Sarawak selama sebulan bermula Jun tahun lalu, tanpa menyediakan makanan dan minuman hingga kucing-kucing itu mati kebuluran.

“Dia patut sediakan keperluan mencukupi serta tempat yang selesa tapi bertindak meninggalkan haiwan peliharaan tersebut `kering kontang’ tanpa belas kasihan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga pemilik unit berkenaan menerima aduan daripada jiran sekitar berhubung bau busuk yang datang dari rumahnya.

Pengadu kemudian memeriksa unit berkenaan dan mendapati beberapa bangkai kucing dalam sangkar yang diletakkan di luar rumah di sebelah pintu.

Pengadu selanjutnya menasihati penyewa tersebut supaya membuang sangkar berkenaan bagi mengelakkan penduduk membuat aduan terhadapnya.

Pengadu kemudianya memeriksa rumah berkenaan bersama bersama pengawal keselamatan dan pengurus bangunan untuk meminta sewa bulanan yang tertunggak sebanyak RM1,400 namun mendapati sangkar tersebut masih tidak dibuang.

Pengadu mendapati bau busuk berlaku di bahagian dapur akibat daging kisar dalam baldi dan peti sejuk manakala penyewanya sedang tidur dalam bilik.

Show More

Related Articles

Back to top button