Program Kongsi Rezeki Ramadan suburkan semangat bantu membantu – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini singgah di Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat di sini bagi mengagihkan 100 pek makanan kepada pelajar tahfiz di situ.
Pengagihan pek berbuka tersebut merupakan sebahagian daripada Program Kongsi Rezeki Ramadan yang menyasarkan pengagihan 3,000 pek makanan berbuka puasa dengan 500 daripadanya diperuntukkan kepada petugas keselamatan berpendapatan rendah.
Pada hari ini juga, sebanyak 120 lagi pek makanan diedarkan kepada penghuni Rumah Limpahan Kasih, di Puchong, Selangor.
Program Kongsi Rezeki Ramadan ini bermula pada Khamis lepas dengan pengagihan 200 pek makanan kepada pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) kampus Bangi, Selangor.
Menurut Ismail Sabri, inisiatif itu bertujuan memastikan golongan asnaf benar-benar dapat menikmati juadah yang enak dan berkualiti ketika berbuka puasa.
“Di saat kita mampu membeli pelbagai juadah berbuka dan menikmati makanan yang lazat, masih ada lagi mereka yang tidak bernasib baik.
“Menginsafi hal ini, Program Kongsi Rezeki Ramadan menyediakan juadah berbuka berupa pek makanan kepada golongan fakir miskin dan asnaf melalui pengagihan secara reach out kepada golongan sasar,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Tambah Ismail Sabri, acara itu dapat memupuk dan menyuburkan semangat Keluarga Malaysia, untuk saling membantu khususnya terhadap golongan memerlukan di bulan yang mulia ini.