Juadah ayam busuk jadi bualan warga Cyberjaya
SEPANG – “Please la (tolonglah) peniaga pasar Ramadan Cyberjaya.. Kami membeli makanan nak makan untuk berbuka puasa..tapi dapat lauk sudah berbau.”
“Lokasi tapak urban. Ayam bau busuk. Aku datang kau dah balik. Jiran berniaga katanya balik awal sebab laku teruk . Esok memang kau kena punya dengan orang yang beli harini. Saksi bau ayam kau aku dah ada. Berniaga ayam tak reti tengok ayam sendiri.”
Itu antara status yang dimuat naik pengunjung bazar Ramadan di laman sosial Facebook kumpulan di daerah ini, setelah kecewa dengan sikap peniaga di bazar Ramadan yang menjual juadah sudah berbau.
Status pertama dimuat naik pengguna bernama Zariz Zaquan semalam itu mendapat 238 sukaan dan turut menerima lebih 147 komen, manakala status kedua pula dimuat naik oleh Muhammad Eirfan yang mendapat 294 sukaan serta 121 komen.
Pengguna Facebook, Yuhanis Idayu Bahari yang turut mengutarakan komen di status Zariz Zaquan, berkata, dia juga menerima nasib yang sama apabila nasi tomato yang dibelinya berbau.
“Saya dah terkena semalam lagi. berbau mmg tak boleh makan. Sah kedai yg sama. RM10 kan nasi tomato tapak Cyberjaya,” katanya.
Pelayar di laman Facebook itu rata-rata kesal dengan sikap peniaga yang hanya mahu menjual tetapi tidak memberi perhatian kepada kualiti makanan yang dijual.
Pengabaian aspek kesihatan seperti itu bukan sahaja merugikan malah boleh mengundang keracunan makanan.
“Biasalah, apa nak pelik. Bulan puasa ramai peniaga setahun sekali,’’ kata salah seorang pelayar.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook bernama Muhammad Najmi Mohd Tajudin yang mengutarakan komen di status Zariz Zaquan, mengakui dia merupakan pemilik gerai berkenaan.
Katanya, dia ingin memohon maaf sekiranya kualiti makanan yang disediakan tidak memuaskan dan bersedia untuk membayar ganti rugi.
“Assalamualaikum, saya owner (pemilik) bagi gerai bazar Ramadhan Cyberjaya memohon maaf andai kata kualiti makanan kami sangat teruk tanpa disedari…dan di sini kami ingin memohon maaf dan berbesar hati ingin memulangkan semula kos kerugian yang tuan puan tanggung.
“Saya berbesar hati jika tuan puan boleh singgah ke kedai saya untuk saya memulangkan balik kerugian dan saya beri makanan percuma kepada mereka yg dah membeli sebgai tanda minta maaf atas kecuaian kami..kerana khilaf dripada pihak kami kerana tidak mengikut SOP… kami amat menghargai dan cuba sedaya upaya tidak mengecewakan kualiti makanan kami… sekali lagi pohon seribu kemaafan dan sila dtg ke tapak saya..kita akan pulangakn…terima kasith di atas respon tuan puan. Semoga kita semua dirahmati…amiin,” katanya dalam ruangan komen berkenaan.
Permohonan maaf itu dilihat ‘muncul’ selepas salah seorang peniaga di bazar yang sama merayu kepada peniaga bertanggungjawab supaya tampil mengakui kesilapan dan memohon maaf kepada pelanggan demi menjaga nasib peniaga lain.