Gerai ‘Lamb Shank King’ Chef Ammar kini dibuka bazar Putrajaya
PUTRAJAYA – Chef terkenal, Chef Ammar yang terpalit dengan kontroversi pada tahun lepas apabila terdapat pelanggan yang mendakwa nasi Arab dijualnya mahal kini melebarkan rangkaian gerai bazarnya di sini, bermula hari ini.
Menurut Chef Ammar, gerainya mendapat sambutan yang menggalakkan pada hari pertama pembukaan dengan menu seperti nasi Arab Kabsah dihidang bersama lauk lamb shank atau ayam menjadi pilihan utama pembeli.
“Menu yang istimewa macam tahun-tahun sebelum ini kita kekalkan kualiti makanan, bukan banyak tapi kualtiti makanan itu yang kami tekankan,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune semalam.
Tinjauan Malaysia Tribune di bazar Ramadan tersebut juga menunjukkan orang ramai tetap setia beratur seawal pukul 4.30 petang kerana tidak mahu terlepas merasa air tangan masakkan Chef Ammar.
Dalam pada itu, Chef Ammar yang terkenal dengan tagline ‘masak dengan iman’ juga berkata, dia juga ada menawarkan kongsi sama bersama penjual lain bagi menjual nasi arab miliknya.
“Dekat bazar ini kita ada tujuh tapi kita kongsi rezeki dengan lima orang Melayu. Ada orang tidak mampu berniaga jadi oranh datang dekat saya beritahu mahu jual makanan saya. Kita cakap tidak mengapa saya boleh tolong.
Ditanya sampai bila gerainya akan beroperasi sepanjang bulan Ramadan ini, dia berkata, gerainya akan dibuka sehingga hari ke-28 puasa.
Tambahnya, dia mahu pekerja-pekerjanya untuk pulang ke kampung halaman masing-masing lebih awal bagi mengelakkan kesesakkan.
“Saya mahu pastikan bila budak-budak saya balik kampung mereka tidak tergesa-gesa, tidak stress, jadi mereka boleh balik dengan senang,” ujarnya lagi.
Selain itu, Chef Ammar juga berterima kasih kepada mereka yang memberikan sokongan kepadanya dan mengucapkan selamat menyambut Ramadan.
“Terima kasih sokong saya, sokong makanan Chef Ammar, semoga Allah merahmati kamu semua, semoga kalian diberikan kesihatan dan selamat menyambut Ramadan,” katanya.