78,000 ribu pengunjung ikuti program SME Bank XCESS 2023
KUALA LUMPUR – Lebih 78,000 ribu pengunjung mengikuti program SME Bank XCESS 2023 yang dijalankan secara hibrid di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Menurut Menteri Pembangunan Usahwan dan Operasi, Ewon Benedick, program yang dijalankan selama dua hari bermula hari ini itu membuka peluang bagi para usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk meneroka potensi serta peluang pengembangan perniagaan mereka.
“Program ini merupakan peluang yang baik untuk berinteraksi dan berbincang dengan pelabur, pemasar, serta agensi-agensi, yang akan membantu daripada segi peningkatan kapasiti, pengenalan kepada keadaan dan keperluan pasaran serta belajar daripada usahawan yang telah berjaya di pasaran luar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran SME Bank XCESS 2023 di ibu negara, hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SME Bank, Datuk Dr. Aria Putera Ismail.
Mengulas lanjut, Ewon berkata kerajaan menyokong penuh program SME Bank XCESS sebagai satu ‘flagship programme’ yang dianjurkan oleh SME Bank sebagai komitmen berterusan dalam memacu pertumbuhan PMKS secara lebih inklusif dan mampan.
Tambah Ewon, beliau mengucapkan syabas kepada SME Bank atas usaha gigih yang dijalankan agar pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, agensi serta pihak swasta dapat disampaikan sehingga ke peringkat akar umbi.
Dalam majlis yang sama, turut diumumkan pemenang Pertandingan SME Bank Sandbox 2023 bagi kategori universiti dan kolej, yang dimenangi oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Universiti Sains Malaysia (USM) pula mendapat tempat kedua manakala Politeknik Sandakan, Sabah meraih tempat ketiga.
Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM20,000 dan RM10,000.
Tambah Ewon, kerajaan amat komited dalam memastikan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul dan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik serta kondusif dapat dicapai menjelang tahun 2030.
Katanya, sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) juga sudah telah meningkat kepada 38.4 peratus pada tahun 2022 dengan nilai tambah berjumlah RM580.4 bilion berbanding RM520 bilion pada tahun 2021.
Justeru, katanya, ia membuktikan sektor PMKS memainkan peranan penting dalam pemangkin pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Bagi kerajaan pula, peranan kementerian ialah untuk terus menggalakkan dan mengukuhkan peranan sektor PMKS dalam kemajuan ekonomi negara,” katanya lagi.