Berita SemasaSukan

Azeem rangkul pingat emas acara 100m di Florida

KUALA LUMPUR – Atlet pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus menampilkan aksi cemerlang di Amerika Syarikat selepas menjuarai acara 100 meter (m) di Kejohanan Florida State University (FSU) Relays, awal pagi tadi (3 pagi waktu Malaysia).

Azeem, yang turut diberikan jolokan ‘Usain Bolt Malaysia’ mewakili Universiti Auburn dengan menamatkan perlumbaan dengan catatan 10.32 saat (s) sekali gus meninggalkan sembilan pelumba lain pada kejohanan yang berlangsung di Mike Long Track di Tallahassee, Florida.

Lebih manis lagi, kemenangan tersebut merupakan pencapaian pertama buatnya selepas membuat debut kejohanan luar dewan di bumi ‘Uncle Sam’ itu selepas tiga penampilan dalam acara 60m dalam dewan sebelum ini.

Tempat kedua acara itu dimenangi Andre Ewers (10.49s) manakala tempat ketiga dimenangi Trei Thorogood (10.51s) mewakili Universiti Syracuse.

Bulan lepas, Azeem menampilkan permulaan baik di Amerika Syarikat selepas memecahkan rekod kebangsaan acara pecut 60m lelaki dalam dewan miliknya sendiri pada kejohanan Tiger Paw Invitational.

Untuk rekod, atlet berusia 18 tahun itu juga memecahkan rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09s pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Stadium Olimpik Pascual Guerrero di Cali, Colombia, Ogos tahun lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button