Sukan

Lompat jauh sumbang emas ketiga Olahraga Para Dunia

KOBE – Malaysia berjaya merangkul tiga pingat emas dalam saingan Olahraga Para Dunia Kobe 2024, di Jepun.

Pencapaian berkenaan berjaya direalisasikan selepas atlet para olahraga negara, Datuk Abdul Latif Romly memungut pingat ketiga emas bagi Malaysia dalam final lelaki lompat jauh kategori T20 hari ini.

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo itu digelar juara selepas membuktikan kemampuannya dengan rekod catatan 7.30 meter (m) dalam acara itu.

Beliau menewaskan pesaingnya dari Ecuador, Espinoza Chala yang mencatat rekod 6.95m diikuti Asprilla Obondo dari Colombia dengan 6.84m.

Sementara itu, dua pingat emas yang lain disumbang oleh atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru lelaki kategori L20 dan pelari, Muhammad Nazmi Nasri dalam acara lompat jauh kategori T37.

Eddy Bernard (400m T44) turut berjaya mendapatkan pingat perak dalam acaranya, manakala Wong Kar Gee (lompat jauh T12) dan Ammar Aiman (400m T20) masing-masing telah menyumbang gangsa di sini.

Pemenang pingat emas dan perak secara langsung melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024 yang akan berlangsung pada 28 Ogos sehingga 9 September depan.

Show More

Related Articles

Back to top button