
Azman dilantik KP Pendidikan yang baharu
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan pelantikan Azman Adnan sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) yang baharu.
Azman yang sebelum ini Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) dilantik bagi menggantikan Datuk Pkharuddin Ghazali yang bersara wajib pada 7 November tahun lalu.
Menurut KPM dalam satu kenyataan, Azman yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Pengajian Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana Kepimpinan dan Kepengetuaan dari Universiti Malaya (UM) mempunyai pengalaman lebih 34 tahun dalam bidang pendidikan.
“Beliau memulakan kerjaya sebagai guru, sebelum dilantik sebagai guru kanan mata pelajaran, penyelia petang, penolong kanan hal ehwal murid, penolong kanan pentadbiran, penolong pengarah Jabatan Pendidikan Negeri dan pengetua sekolah.
“Azman turut berpengalaman memimpin institusi pendidikan di pelbagai peringkat termasuk sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor,” kata menyataan tersebut, hari ini.
Pada peringkat Pengurusan Tertinggi KPM, Azman berpengalaman menjawat jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian sebelum dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah).
“Semoga pengalaman luas Azman di pelbagai peringkat dapat memacu pendidikan negara ke arah kecemerlangan,” kata kenyataan itu lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |