Bisnes & Ekonomi

Tingkat pendapatan dengan jadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya utama – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menggalakkan rakyat di negara ini untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya utama mereka bagi mengatasi masalah kos sara hidup yang kian meningkat.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, antara kaedah terbaik bagi mengatasi kos sara hidup adalah dengan mempunyai pendapatan yang tinggi menerusi penglibatan dalam bidang  keusahawanan.

“Kita mahu mereka berpendapatan tinggi dengan menjadi usahawan itu adalah kaedah yang paling mujarab untuk mengatasi kos sara hidup ini adalah kita berpendapatan tinggi dan menjadi usahawan.

“Negara lain maju kerana rakyatnya ramai jadi usahawan. Semakin ramai usahawan di sesebuah negara lagi cepat negara itu maju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Prapelancaran Hari Usahawan Negara (HUN) 2023 di sini, malam ini.

Tambah Ahmad, apa yang berlaku sekarang adalah ketidaksamarataan antara pemberian gaji dengan taraf pendidikan yang dimiliki oleh seseorang.

“Mereka yang ada ijazah dapat gaji Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), mereka yang ada STPM, Diploma dapat gaji SPM dan mereka yang ada SPM dapat gaji minima.

“Kenapa perka itu berlaku? Kerana mereka bukan usahawan, mereka orang yang makan gaji. Jadi kita mahu rakyat Malaysia memilih kerjaya usahawan sebagai kerjaya pilihan utama,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) juga dalam usaha untuk mewartakan Hari Usahawan Negara (HUN) sebagai acara rasmi di negara ini.

Katanya, cadangan itu akan dibawa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan pertimbangan dan persetujuan kerajaan bagi mewartakan ketetapan tarikh sambutan HUN.

“Usaha DPUKM kini untuk HUN diiktiraf sebagai satu acara rasmi negara seperti Hari Sukan Negara, Hari Belia, Hari Guru, Hari Pekerja dan sambutan rasmi hari-hari lain,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button