Lokasi penganjuran ‘Thai Hot Guy’ tiada lesen hiburan
CYBERJAYA – Kelab malam yang bakal dijadikan lokasi persembahan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand serta berpakaian dalam wanita dikenali sebagai ‘Thai Hot Guy’ didapati tidak mempunyai lesen hiburan.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai satu acara hiburan bakal dianjurkan sebuah bar di Jalan Tun Razak, pada 30 Mac ini.
Bagaimanapun, tambahnya, siasatan awal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati premis yang dilesenkan atas nama restoran Syarikat Beijing 9 Sdn Bhd, sudah tamat lesen operasi restoren pada 4 Feb 2021.
“Premis itu juga tidak mempunyai lesen hiburan. Tiada sebarang permohonan lesen hiburan atau menjalankan aktiviti hiburan dibuat.
“DBKL juga dalam proses semakan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan syarat oleh penganjur,” kata Azman dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, PAS menggesa DBKL campur tangan dan mempertimbangkan semula kebenaran acara menampilkan pelayan lelaki dari Thailand itu.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata tindakan itu bertentangan budaya tempatan dan tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, apatah lagi ia diadakan pada Ramadan.
Beliau berkata, acara itu mempromosikan budaya hedonistik, lucah dan seks bebas berdasarkan makluman dalam bahasa Cina dengan terjemahan Inggeris, yang turut disertakan gambar aksi mencolok mata kumpulan berkenaan dengan pengunjung secara terbuka.