Jenayah & Mahkamah

Tertuduh kes pukul pekerja restoran Pelita mengaku tidak bersalah

SEPANG – Kedua-dua tertuduh kes memukul pekerja sebuah restoran nasi kandar popular di Cyberjaya dekat sini pada Jumaat lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang hari ini.

Dalam pertuduhan di depan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman, tertuduh, Loganathan Munusamy berdepan tiga pertuduhan manakala Elangovan Muniyandy menerima empat pertuduhan.

Bagi tuduhan pertama, mereka didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, pertuduhan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Bagi tuduhan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mengeluarkan perkatan lucah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga terhadap kedua-dua tertuduh dibuat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat harta benda yang memperuntukkan hukuman penjara 5 tahun.

Sementara itu, Elangovan didakwa dengan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 324 KK yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun kerana menyerang dengan menggunakan penyepit besi.

Pertuduhan dibaca oleh Timbalan Pegawai Pendakwaraya Selangor, Nur Sabrina Zubairi.

Loganathan dan Elangovan, masing-masing berusia 51 tahun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Peguam tertuduh, Lingeswaran Andiappan dalam rayuannya meminta mahkamah mengurangkan jumlah jaminan memandangkan suspek adalah sumber mata pencarian utama untuk keluarga.

“Elangovan yang bekerja sebagai pemandu van mengidap penyakit jantung dan menanggung tiga orang anak dan isteri yang mengidap kencing manis dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

“Manakala Loganathan adalah seorang pemandu teksi dengan gaji RM900 sebulan menanggung seorang ibu yang uzur.

Majistret menurunkan kadar jaminan daripada RM7,000 kepada RM3,000 bagi kes 324 Kanun Keseksaan; RM3,300 bagi kes 427 dan 509 Kanun Seksaan ; RM2,000 bagi kes 323 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 Jumaat lalu, tertuduh yang dipercayai mabuk bertindak memukul pekerja restoran setelah salah seorang daripada mereka ditegur kerana mengambil lauk menggunakan tangan.

Dalam insiden pergaduhan yang tular di media sosial itu, pekerja restoran berkenaan dipukul menggunakan pengepit makanan besi di bahagian kepala dan badan, menyebabkan mereka mengalami lebam serta luka.

Show More

Related Articles

Back to top button