Lans Koperal mengaku tidak bersalah terima rasuah bagi pulangkan barang rampasan
SANDAKAN – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebagai dorongan untuk memulangkan beberapa barang rampasan.
Tertuduh, Mohd Razif Hashim, 30, didakwa menerima wang tunai berjumlah RM3,500 daripada seorang individu bernama Said Shah di dalam sebuah kereta di kawasan Pasar Bandar Sibuga Jaya, Batu 8 dekat sini pada kira-kira pukul 11.30 pagi 30 Jun 2021.
Mengikut pertuduhan, wang itu adalah sebagai dorongan untuk tertuduh memulangkan motosikal, buku hutang dan dua pasport Said yang dirampas pada 27 Jun 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Jason Juga membenarkan Mohd Razif diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mei bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Rekhraj Singh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.