Politik

Ketua pembangkang selar kenyataan PM

KUALA LUMPUR – Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menempelak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyimpulkan bahawa orang miskin boleh dipergunakan oleh sesetengah pihak untuk berdemonstrasi.

Hamzah berkata, kenytaaan Anwar itu jelas satu penghinaan kepada rakyat golongan bawahan negara ini yang dianggap dengan mudah boleh dimanipulasi.

“Kenapa mesti dia bawa hal orang miskin boleh diupah. Saya rasa ini menjadi masalah besar dalam negara ini, bila pemimpin yang mula berkecamuk fikirannya dengan membuat cerita yang bukan-bukan. Dia beranggapan orang miskin ini boleh diupah untuk buat apa saja, untuk buat demonstrasi.

“Saya rasa ini pemikiran Perdana Menteri yang tak sepatutnya wujud dalam negara kita,” katanya dalam satu video yang dikongsi di Facebook beliau malam ini.

Anwar dalam sidang media semalam mendakwa sudah mengarahkan seluruh pasukan keselamatan untuk waspada kerana orang yang ‘desperate’ (terdesak) dan rasa tercabar akan menggunakan rakyat yang miskin untuk diupah bagi menimbulkan apa-apa kekacauan.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata, Anwar sepatutnya mencari jalan menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan miskin menerusi bantuan yang perlu disalur kerajaan.

“Cari jalanlah untuk selesaikan masalah bukan menuduh perkara yang bukan-bukan.

“Dengan menuduh orang miskin boleh diupah untuk membuat demonstrasi jalanan juga boleh menyebabkan mereka lagi marah.

“Mereka sekarang makan pun susah, lagi nak suruh dia (demonstrasi). Perdana Menteri jangan fikir yang bukan-bukan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button