Bisnes & Ekonomi

Seleksi Minaz Blooming Raya penuhi citarasa anak muda

BANGI – Jenama fesyen tempatan popular, Minaz baru-baru ini memperkenalkan koleksi Minaz Blooming Raya dengan sentuhan gaya terbaru Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Minaz Sdn Bhd, Hafiza Abdul Hamid berkata, berbeza dengan tahun lalu yang menumpukan rekaan pakaian ibu dan anak, Minaz pada tahun ini memberi tumpuan kepada cita rasa anak muda.

Bagi menjayakan kempen Minaz Blooming Raya 2023, jenama yang tidak lagi asing itu memilih selebriti TikTok, Layka Al Funsu sebagai ‘duta’ fesyen sekaligus mewakili penceritaan Minaz pada tahun ini.

“Kempen Aidilfitri kami tahun ini menampilkan 73 koleksi dengan mainan hampir 30 warna termasuk tona yang berbeza dari konsep pastel sebelum ini.

“Antaranya warna emas, kuning, magenta dan juga hitam yang pasti memberi lebih kebebasan kepada pelanggan untuk memilih dan sesuai diperagakan di luar musim perayaan,” katanya pada pelancaran Minaz Blooming Raya di Houseboat, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hafiza berkata, pelancaran koleksi Hari Raya yang dilancarkan pada 7 Mac lalu itu masih mengekalkan identiti baju kurung moden dan kebaya labuh dengan rekaan yang selesa.

“Kali ini kami menyuntik elemen-elemen yang lebih segar dan baharu namun masih mengekalkan potongan atau silhoutte yang malar segar.

“Pemilihan jenis fabrik pula banyak menggunakan syifon dengan penataan manik yang agak ‘berat’,” katanya yang mempunyai kira-kira 7,000 ejen di seluruh negara ketika ini.

Selain pilihan wanita, segmen lelaki atau Minaz Men pula mengetengahkan 16 pilihan warna untuk digayakan sedondong bersama ahli keluarga dan pasangan.

“Dengan adanya rekaan untuk lelaki, tiada lagi masalah untuk pelanggan mendapatkan pilihan warna sedondong,” katanya.

Sementara itu, Hafiza berkata, pihaknya mensasarkan 600,000 pasang pakaian terjual sepanjang kempen Minaz Blooming Raya manakala 4 juta untuk sasaran sepanjang tahun.

“Walaupun keadaan ekonomi agak tidak menentu ketika ini, kami percaya sambutan Aidilfitri kali ini tidak kurang hebatnya. Berbekalkan keyakinan pelanggan pada tahun-tahun lalu, kami cuba mengekalkan kualiti terbaik kami tahun ini,” katanya yang memperoleh jualan 2 juta helai pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Minaz turut mengumumkan pembukaan gedung termasuk butik jualan sementara sempena Aidilfitri di Bandar Teknologi Kajang, Selangor.

“Butik ini akan mula dibuka pada 17 Mac ini untuk membolehkan pelanggan ‘walk-in’ memilih koleksi terbaharu kami.

“Bagi pelanggan yang mahu membuat pembelian secara dalam talian boleh melawat laman web www.minaz.com.my, ” ujar Hafiza yang juga pereka fesyen jenama Minaz.

Show More

Related Articles

Back to top button