Berita SemasaSukan

Sarawak dipilih tuan rumah Sukma 2024

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) dalam mesyuarat pada hari ini  bersetuju memilih Sarawak sebagai tuan rumah Temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi seterusnya yang dijadual berlangsung pada 2024.

Pemilihan Sarawak selaku tuan rumah 2024 adalah berpandukan kepada persetujuan ahli-ahli untuk memperkenalkan sistem penggiliran tuan rumah secara berselang-seli setiap dua tahun di antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan negeri-negeri.

Selepas giliran Sarawak selaku tuan rumah edisi SUKMA 2024, temasya SUKMA pada 2026 akan diadakan di Kelantan.

Rasional sistem penggiliran tuan rumah itu bertujuan untuk mengurangkan beban Kerajaan Persekutuan bagi memberikan bantuan kewangan kepada negeri-negeri yang meliputi peruntukan pembinaan dan naik taraf infrastruktur sukan, kos penganjuran dan juga pembiayaan program persediaan atlet-atlet di peringkat negeri.

Selain itu, Jawatankuasa Tertinggi Sukma juga meluluskan cadangan supaya 28 jenis sukan wajib dipertandingkan, bermula daripada temasya S tahun 2024.

Sarawak selaku tuan rumah SUKMA 2024 juga diberikan pilihan memasukkan beberapa sukan tambahan dan telah memutuskan untuk  menyenaraikan empat jenis sukan – tinju, muay thai, petanque dan sukan elektronik (e-sports) – bagi temasya SUKMA 2024, tertakluk kepada jumlah minimum penyertaan enam negeri seperti terkandung dalam Peraturan Am Sukan Malaysia.

Jawatankuasa juga telah bersetuju untuk MSN mengadakan beberapa sesi libat urus bersama persatuan-persatuan sukan kebangsaan dan pemegang taruh yang berkaitan bagi mengkaji kemungkinan membuka penyertaan kepada lebih banyak jenis sukan untuk dipertandingkan pada temasya akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button