Jenayah & Mahkamah

Kereta pengarah, penulis skrip Mentega Terbang disimbah cat, asid

CYBERJAYA – Pengarah dan penulis skrip telefilem Mentega Terbang menerima ugutan bunuh selain kereta mereka disimbah cat dan bahan asid, dipercayai pada awal pagi tadi.

Gambar mengenai kejadian tersebut dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter.

Antara dikongsikan, gambar kereta milik kedua-dua mangsa jenis Proton Saga berwarna merah dan Toyota Vios berwarna putih didapati dirosakkan dengan cat merah serta asid.

Selain itu, beberapa nota berunsur ugutan bunuh dipercayai berkaitan filem tersebut turut diletakkan pada kedua-dua kereta milik mangsa.

Difahamkan pengarah, Khairi Anwar Jailani serta penulis skrip itu, Arjun Thanaraju telah membuat laporan polis di Kajang dan Ampang Jaya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil menerusi hantaran Twitter mengecam tindakan tersebut yang disifatkan di luar batas undang-undang.

“Rakyat Malaysia mesti patuh undang-undang, jangan ambil tindakan yang boleh merosakkan harta benda, mengancam nyawa.

“Patuhi undang-undang, jangan mengambil tindakan sendiri,” kata Fahmi dalam ciapannya, hari ini.

Filem Mentega Terbang mencetuskan kontroversi selepas tular sedutan babak dalam filem tersebut yang memaparkan isu menyentuh sensitiviti penganut agama Islam.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button