Pertuduhan di mahkamah dibuat bukan atas desakan mana-mana pihak – Peguam Negara
PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara menegaskan keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana individu ialah berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada penyiasatan serta bukan desakan mana-mana pihak atau faktor lain.
Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, keputusan dibuat dengan adil berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tidak memihak kepada sesiapa berlandaskan teras integriti.
Katanya, ia susulan daripada tohmahan bahawa berlakunya pendakwaan terpilih (selective prosecution), bermotif politik dan penganiayaan (persecution) dalam pendakwaan kes baru-baru ini.
“Ini bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan sewajarnya selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Jabatan Peguam Negara menafikan tohmahan terhadap wujudnya pendakwaan terpilih (selective prosecution), bermotif politik dan penganiayaan (persecution) terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Idrus berkata, sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang, individu itu akan didakwa berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa mengira status dan latar belakang.
Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pertuduhan terhadapnya adalah satu ‘pertuduhan terancang’ dengan mendakwa keputusan untuk mendakwa beliau sebenarnya dibuat lebih awal oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum siasatan dilengkapkan.
Bekas Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di atas empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan rasuah berjumlah RM232.5 juta.