Peruntukan RM2 juta bantu mangsa banjir di 5 negeri – Menteri Agama
PUTRAJAYA – Nasib lima negeri yang dilanda banjir teruk sejak beberapa hari lalu terus mendapat perhatian apabila peruntukan sejumlah RM2 juta daripada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan digunakan bagi membantu mangsa yang terjejas.
Menurut Menterinya, Datuk Dr Naim Mokhtar, bantuan akan diagihkan oleh Skuad Musa’adah Madani berupa barangan keperluan asas seperti makanan kering, beras, selimut, toto, kit solat dan sebagainya.
Katanya, sebanyak 15 buah kenderaan digerakkan menerusi misi bantuan ini selain dua buah bas dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) juga akan turut serta bagi menyediakan kemudahan klinik dan juga dapur bergerak.
“Kita mengharapkan dengan bantuan yang diberikan oleh agensi-agensi seperti MAIWP sebanyak RM1 juta, JAKIM RM500,000, JAWI RM25,000, Masjid Putra RM20,000, YAPIEM RM50,000, YADIM pun RM50,000 dapat membantu mereka-mereka yang sukar di sana
“Dan saya percaya insya-Allah, bila kita berikan sumbangan ini, Allah akan lebih membuka rezeki bantuan kepada agensi-agensi agama, saya percaya dia akan menimbulkan keyakinan kepada masyarakat untuk memberikan sumbangan kepada JAKIM dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melepaskan Misi Bantuan Banjir Skuad Musa’adah Madani agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini.
Dalam majlis yang sama, Naim turut menyampaikan sumbangan cek kepada MAPIM sebagai penghargaan dan ucapan terima kasih agensi agama kepada NGO yang telah memberikan komitmen jitu dalam menyalurkan bantuan.
Beliau turut mengingatkan semua agensi supaya menjaga integriti dalam menyampaikan bantuan ini supaya tidak berlaku sebarang ketirisan atau penyalahgunaan wang dalam usaha membantu mereka yang terjejas banjir.