Bisnes & Ekonomi

Koop Sahabat meterai MoU bangunkan projek hartanah di Langkawi dan Kuantan

SHAH ALAM – Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Marriott International dan Hospital Islam Az Zaharah bagi membangunkan projek pembangunan hartanah resort hotel di Pantai Chenang,  Langkawi dan Pusat Penjagaan Kesihatan di Kuantan, Pahang.

Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor berkata, kedua- dua projek dengan nilai pembangunan kasar keseluruhan sebanyak RM250 juta itu dijangka beroperasi pada tahun 2024 dan 2026.

Katanya, pembangunan projek ini dilihat mampu merancakkan aktiviti pembangunan hartanah dan pembinaan selaras dengan perancangan strategik yang telah dirangka pihak koperasi

“Menerusi perjanjian tersebut Koop Sahabat melantik Marriott International sebagai operator pengendali hotel dengan kapasiti bilik sebanyak 300 unit di atas tanah milik kumpulan Koop Sahabat di Pulau Langkawi dengan menggunakan jenama Fairfield By Marriott.

“Pusat Penjagaan Kesihatan Ambulatory Care Centre pula akan dikendalikan oleh Hospital Islam Az Zahrah. Pusat ini bakal menyediakan perkhidmatan perundingan, rawatan, atau intervensi penjagaan kesihatan menggunakan teknologi terkini perubatan.

“Selain itu, pusat perubatan ini juga akan dilengkapi dengan fasiliti rehabilitasi perubatan dan vokasional, oncology suites, assisted living, hemodialisis, pengimejan diagnostik, confinement suites, wellness spa dan beberapa lagi fasiliti sokongan perubatan,” katanya.

Terdahulu beliau menghadiri majlis MoU bersama Pengarah Kanan, Pembangunan Hotel Asia Pasifik, Marriott International, Andree Susilo, dan wakil pihak Hospital Islam Az Zahrah, All Karimi Abd Rahman.

Mengulas lanjut katanya, Koop Sahabat juga yakin penumpuan pembangunan hartanah harus diberikan kepada pembangunan secara Built To Suit.

Katanya, menerusi kaedah itu, ia mampu membantu pihak kerajaan menyediakan kemudahan asas seperti hospital, pusat pendidikan dan sebagainya.

Sebagai rekod, Koop Sahabat adalah sebuah koperasi perkhidmatan yang ditubuhkan pada 30 Ogos 2012 di bawah Akta Koperasi 1993 dengan keanggotaan kini melebihi 400,000 anggotadi seluruh Malaysia yang terdiri daripada usahawan wanita B40.

Perniagaan Koop Sahabat kini meliputi perniagaan dalam perkhidmatan kewangan seperti Ar Rahnu, pembangunan hartanah, pelaburan korporat, pelaburan strategik serta pelaburan di dalam ekuiti awam.

Show More

Related Articles

Back to top button