
Ranaco teruskan kerjasama perkasa TVET dengan MISA
BANGI – Bidang minyak dan gas (O&G) sememangnya menjadi antara lapangan kerjaya yang diburu anak muda khususnya mereka yang meminati bidang kemahiran teknikal dan vokasional (TVET).
Menyedari potensi yang terbuka luas dan keperluan modal insan yang kian meningkat, Ranaco Marine Sdn. Bhd. (Ranaco Marine) baru-baru ini menjalinkan kerjasama dengan Akademi Kemahiran Perindustrian Malaysia (MISA).
Kerjasama institusi latihan maritim, minyak dan gas itu dengan MISA bertujuan memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sijil dalam tempoh tiga hingga empat bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ranaco Marine, Ahmad Firdhaus Ramlan berkata, sempena memorandum persefahaman yang dimeterai itu, pihaknya menyasarkan pengambilan sebanyak 550 pelajar dalam bidang maritim dan O&G pada tahun ini.
“Kesemua pelajar ini akan mengisi peluang pengajian yang Ranaco tawarkan iaitu kursus geladak kapal, kursus enjin kapal, kursus penebat paip gas (pipe gas insulation), kursus paip dan jurugegas (pipe and rigger fitter) dan kursus kulinari di sektor maritim, minyak dan gas.
“Di Ranaco, kami mempunyai hubungan yang cukup akrab dengan pihak industri khususnya dalam bidang berkait dengan O&G ,” katanya dalam satu kenyataan susulan memorandum persefahaman (MoU) dengan Ketua Pegawai Eksekutif MISA, Siti Fatimah Hussin di Kampus Ranaco Marine di Jakar, Terengganu baru-baru ini.
Ranaco Marine merupakan pusat latihan maritim, minyak dan gas swasta yang menawarkan kursus peringkat sijil dalam tempoh tiga hingga empat bulan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MISA, Siti Fatimah Hussin berkata, MoU antara Ranaco dengan MISA itu diharap akan dapat membangunkan bekalan modal insan yang kompeten sebelum melangkah ke alam kerja.
Katanya, kerjasama tersebut telah bermula sejak Ogos 2020 dengan program pertama yang dijalankan secara fizikal di Johor.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program pengajian yang ditawarkan boleh menghubungi MISA di emel misaskillacademy@gmail.com