RTB, Nusa Kapital, TT Gratia Group jalin kerjasama strategik, bangunkan projek hartanah di Melaka
KUALA LUMPUR – Bagi meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur dalam sebuah projek hartanah di Melaka, syarikat amanah, Rakyat Trustee Berhad (RTB) bersama Nusa Kapital Sdn. Bhd. (Nusa Kapital) serta juga sebuah syarikat hartanah, TT Gratia Group secara rasminya telah memeterai kerjasama strategik.
Jelas Pengarah Urusan RTB, Faudzi Mt Din, kerjasama strategik itu merupakan langkah penting bagi memastikan dana pelabur serta pembeli dilindungi.
Tambah pula, Nusa Kapital merupakan penyedia platform pembiayaan antara-rakan-setara atau peer to peer (P2P) patuh syariah pertama di Malayisa malah di dunia yang memiliki rekod sejarah yang baik.
“Kita tengok berdasarkan dua perkara iaitu syarikat itu sendiri daripada kekuatan dan rekod.
“Yang kedua adalah projek itu sendiri mengenai pulangan dan sebagainya bagi memastikan semua pelabur dilindungi secara tidak langsung pembeli juga akan dilindungi.
“Kami akan memastikan dana pelabur dilindungi dan juga memberi manfaat kepada mereka dan pelaburan melalui platform Nusa Kapital yang berpengalaman luas juga akan kami pantau.
“Kami juga akan memastikan segala transaksi dalam projek ini berlaku di bawah pemantauan RTB,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara RTB dengan Nusa Kapital dan juga TT Gratia di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi RTB, Datuk Zazali Haron, Ketua Pegawai Operasi Nusa Kapital, Izmi Marican dan Pengarah Urusan TT Gratia, Tan Wei Joon.
Mengulas lanjut, Faudzi berkata, terlalu banyak pelabur di negara ini yang melakukan kesilapan dalam membuat pelaburan yang akhirnya merugikan mereka.
“Mereka (pelabur) begitu teruja melabur semata-mata untuk mendapatkan pulangan yang tinggi dan selalunya mereka tiada pengetahuan meluas mengenai pelaburan.
“Justeru itu, sekiranya mereka melabur dalam platform yang disediakan oleh Nusa Kapital dan RTB pula menjadi pemegang amanah kepada dana tersebut jadi mereka tidak perlu bimbang terhadap wang pelaburan mereka,” katanya lagi.
Sebagai rekod, pemeteraian kerjasama ini merangkumi dana sebanyak RM50 juta bagi membangunkan projek perumahan mampu milik melibatkan 1200 unit rumah di atas tanah seluas 97 ekar.
Selain itu, RTB juga akan menjadi pemegang amanah bagi dana tersebut yang dijangka akan berjaya dikumpul dalam tempoh satu tahun, sekali gus memastikan kelancaran projek hartanah berkenaan mengikut perjanjian yang telah dimeterai.