Dakwaan layanan berbeza JPKKP negeri pembangkang dengan kerajaan tidak benar – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menafikan wujudnya perbezaan layanan terhadap penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) antara negeri yang ditadbir pembangkang dan kerajaan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sejak penubuhan JPKKP pada 2008, belum pernah berlaku sebarang masalah atau isu besar yang timbul dalam pentadbiran di peringkat kampung.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata, fungsi utama penubuhan JPKKP adalah sebagai penghubung di antara masyarakat kampung dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan di peringkat negeri.
Katanya, JPKKP juga bertanggungjawab merancang dan melaksanakan pelan pembangunan kampung dengan pembabitan komuniti setempat ke arah mewujudkan kampung maju dan sejahtera.
“Bagi tujuan ini, JPKKP dilengkapkan dengan 13 anggota yang diketuai oleh pengerusi dan dibantu seorang setiausaha serta 11 Ahli Jawatankuasa.
“Setiap anggota perlu memainkan peranan masing-masing mengikut bidang tugas yang ditetapkan termasuk dalam bidang pengurusan kewangan, pembangunan prasarana, ekonomi, hal ehwal wanita dan keluarga, kesejahteraan, keselamatan, pendidikan dan lain-lain,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas ditanya Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (BN-Pasir Puteh) mengenai penubuhan JPKKP.
Kata Nik Muhammad Zawawi, beliau ingin mengetahui skop tugas, peranan dan bidang kuasa yang ditetapkan kepada JPKKP serta adakah diselaraskan di semua negeri seluruh negara.
Beliau juga bertanyakan mengapa wujud perbezaan layanan di antara negeri yang diperintah kerajaan dan pembangkang sedangkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sedia ada di negeri yang diperintah Perikatan Nasional (PN) sudah teratur organisasinya mengendalikan keperluan rakyat pelbagai kaum dan agama.