Berita Semasa

Tiga daerah Johor catat peningkatan mangsa banjir

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir yang direkodkan tiga daerah di negeri ini terus mencatatkan peningkatan setakat jam 8 pagi hari ini.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, tiga daerah yang terjejas termasuklah Batu Pahat, Muar dan Tangkak.

Katanya, ia sekaligus meningkatkan jumlah mangsa di seluruh negeri kepada 40,141 orang daripada 11,468 keluarga di 202 pusat pemindahan sementara (PPS).

Tambah Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, Batu Pahat terus menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa banjir apabila bertambah kepada 27,774 orang daripada 7,898 keluarga di 91 PPS.

“Di Muar pula, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,080 orang daripada 1,227 keluarga di 21 PPS, manakala Tangkak, jumlah mangsa banjir meningkat menjadi 2,536 orang (780 keluarga) di 23 PPS,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Azmi berkata, tiga daerah lain pula, Segamat, Kluang dan Kota Tinggi masing-masing menunjukkan trend menurun.

Katanya, Segamat kini terdapat seramai 2,034 mangsa banjir daripada 500 keluarga di 33 PPS; Kluang terdapat seramai 1,310 mangsa (362 keluarga) di 12 PPS dan mangsa banjir di Kota Tinggi pula semakin berkurang menjadi 1,138 orang (325 keluarga) di 12 PPS.

“Bagi Mersing dan Pontian pula, jumlah mangsa banjir di daerah masing-masing kekal dengan 1,162 mangsa banjir (347 keluarga) di enam PPS dan 107 mangsa (29 keluarga) di tiga PPS,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan atau ribut petir di semua daerah di Johor dan laporan cuaca juga menunjukkan semua daerah di negeri ini dilaporkan tidak hujan.

Dalam perkembangan lain, bagi banjir di Pahang pula, seramai 2,268 mangsa banjir daripada 655 keluarga masih berada di 16 pusat pemindahan sementara (PPS) di Rompin dan Maran, setakat jam 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan, jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding 2,353 mangsa daripada 685 keluarga, petang semalam.

Ketika ini, dua paras air sungai iaitu Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan dan Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera pula melepasi tahap amaran manakala Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran pula merekodkan paras air melepasi tahap waspada.

Show More

Related Articles

Back to top button