Demi kesucian Islam
Penulis skrip yang dedahkan kontroversi filem Mentega Terbang tegaskan tetap lawan
KUALA LUMPUR – Penulis buku yang mendedahkan mengenai filem Mentega Terbang, Zabidi Mohamed menegaskan tidak akan berganjak dan akan tetap lawan meskipun bakal berhadapan tindakan mahkamah selepas menerima notis tuntutan daripada penerbit, pengarah dan penulis skrip filem kontroversi tersebut.
Zabidi yang juga penulis skrip berkata, ketetapan itu dibuat bagi menjaga akidah umat Islam.
“Terima kasih semua atas sokongan dan doa-doa untuk saya. Doa-doa kalian itu yang sangat saya harapkan. Demi Allah dan Rasul saya akan lawan,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Zabidi yang juga bekas majistret dan peguam mendedahkan peguam yang mewakili pasukan Mentega Terbang sudah menghantar notis tuntutan kepada Zabidi bertarikh 3 Mac lalu yang antara lain memintanya untuk membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan fitnah yang dibuat terhadap pasukan filem terbabit.
Pengarah dan penulis skripnya, Mohd Khairi Anwar Jailani dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram berkata, tindakan itu diambil susulan penulisan Zabidi di Facebook yang mendakwa Mentega Terbang sebagai filem menghina, meremeh, merendah-rendahkan, memperleceh, menodai dan mempersendakan agama Islam.
Sementara itu, Zabidi menegaskan, sebagai seorang Muslim beliau berpegang kepada tauhid dan kebenaran itu hanya dengan Islam.
Sementara itu, beliau turut mengajak mana-mana peguam yang sanggup membantunya dalam menjaga kesucian agama Islam.
“Jika ada peguam muslim yang ingin bersama saya dalam menjaga kesucian agama Islam boleh hubungi saya.
“Kebenaran hanya dengan Islam,” tulis Zabidi.