Kadar gaji penjawat awam dibincang semula setelah ekonomi negara diperbetulkan
KOTA KINABALU – Kenaikan kadar gaji dan upah penjawat awam akan diberi keutamaan apabila keadaan kewangan negara semakin baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya kantung negara baik dengan defisit berjaya dikurangkan, maka isu kenaikan gaji penjawat awam akan tetap diberi perhatian.
“Kalau kantung kita baik dan defisit dapat dikurangkan jadi, kita boleh (beri tumpuan). Sekarang, kalau saya tengok cara penjawat awam buat kerja di peringkat negeri, kemudian kita tengok hasil bertambah, saya tengok mungkin (kenaikan gaji) boleh dipercepat.
“Cuma untuk hari ini sukarlah, itu nanti kita bincang dahulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.
Ketika menyampaikan amanat pada majlis itu, Anwar berkata negara berdepan defisit fisikal sebanyak 5.6 peratus dan jumlah hutang kira-kira RM1.5 trilion yang perlu diberi keutamaan dalam usaha memastikan kemakmuran negara terutama dari segi ekonomi.