BN hantar surat tuntutan terhadap Muhyiddin, Azmin Ali
CYBERJAYA – Barisan Nasional (BN) hari ini menghantar satu surat tuntutan kepada Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mohammed Azmin Ali sebagai tindak balas daripada tuduhan tidak berasas yang dikeluarkan terhadan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Komunikasi BN dalam satu kenyataan, tuduhan oleh kedua-dua pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) itu yang mengaitkan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN sebagai dalang’ dan ‘perancang’ kepada pertuduhan Datuk Wan Saiful Wan Jan dan PN adalah berniat jahat
“Fitnah liar ini tidak boleh dibiarkan berlarutan untuk dijadikan bahan untuk menipu dan meloloskan diri daripada dakwaan terhadap kesalahan dan jenayah yang telah dilakukan.
“Di dalam surat tuntutan yang dihantar, kedua-dua penama tersebut dituntut supaya mestilah menarik-balik kenyataan mereka, memohon maaf secara terbuka dan membayar balik pampasan ganti rugi di atas kenyataan serta fitnah yang telah dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, tuduhan yang dikeluarkan terhadap Ahmad Zahid itu juga adalah untuk mencipta alasan bagi menyembunyikan masalah korup dan rasuah dalam PN.
“Melalui siri tuduhan ini, jelas kelihatan bahawa kedua-dua individu utama dalam parti PN ini mencipta pelbagai alasan untuk menyembunyikan masalah korup dan rasuah yang ada di dalam PN.
“Tindakan menuding jari dilihat seperti langkah yang biasa mereka lakukan untuk menutup kelemahan dan menjadikan diri mereka sebagai mangsa pendakwaan politik sedangkan rakyat kini melihat yang dituduh adalah dari kepimpinan parti mereka sendiri.
Katanya lagi, Presiden UMNO itu yang juga Timbalan Perdana Menteri tidak pernah sesekali menyalahgunakan jawatan dan kedudukan untuk mendakwa pemimpin-pemimpin daripada PN.
Sementara itu katanya, fokus Timbalan Perdana Menteri adalah untuk menguruskan hal ehwal negara, khususnya meningkatkan kesejahteraan serta ekonomi hidup masyarakat desa.