Politik

Penetapan tarikh PRN: Pas akan bincang dengan tiga negeri PH

CYBERJAYA – Parti Pas akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin tiga negeri Pakatan Harapan (PH) bagi menetapkan tarikh pilihan raya negeri (PRN) dapat diadakan serentak dengan Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Moktar berkata, perbincangan pada minggu depan adalah yang kedua selepas kali pertama diadakan secara tidak rasmi akhir tahun lalu, namun belum ada keputusan dibuat hasil pertemuan itu.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, setakat ini PAS belum memuktamadkan tarikh PRN, dan akan membuat keputusan selepas pertemuan dengan tiga pemimpin Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor diadakan.

“Kita berpendapat PRN di enam negeri perlu diadakan serentak bagi menjimatkan pengurusan, termasuk peruntukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan memudahkan rakyat.

“Namun keputusan sama ada PRN akan diadakan serentak di enam negeri atau tidak bergantung kepada hasil perbincangan dengan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya menurut Berita Harian.

Baru-baru ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan, parti itu akan menentukan sendiri tarikh bersesuaian untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN di tiga negeri ditadbir parti itu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Beliau juga berkata, terpulang kepada PH untuk menentukan pembubaran DUN di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor sama ada akan dilakukan serentak dengan tiga negeri ditadbir PAS atau sebaliknya.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pula berkata, PH lebih suka mengadakan PRN antara Mei, Jun dan Julai.

Enam negeri tersebut belum mengadakan PRN selepas tidak membubarkan DUN ketika PRU lalu.

Hanya Perlis, Perak dan Pahang yang membubarkan DUN serentak dengan Parlimen.

Negeri lain seperti Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak pula tidak perlu membubarkan DUN kerana baharu sahaja mengadakan PRN.

Show More

Related Articles

Back to top button