Berita Semasa Isu air Apartment Putra Ria, Air Selangor setuju jadualkan semula kaedah pembayaran
KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bersetuju menjadualkan semula kaedah pembayaran tunggakan bil air penghuni Apartmen Putra Ria yang tertunggak kira-kira RM170,000.
Persetujuan itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi satu hantaran di laman Facebooknya malam ini.
Beliau berkata, pesetujuan itu dicapai hasil daripada pertemuan beliau bersama pihak pengurusan pangsapuri, persatuan penduduk dengan Air Selangor petang tadi.
“Alhamdulillah pihak Air Selangor telah membantu menjadualkan semula pembayaran tunggakan bil air Putra Ria.
“Pihak pengurusan juga bersetuju untuk membuat ‘pemutihan’ pemilik unit-unit yang bermasalah termasuk kemas kini senarai nombor telefon pemilik unit/waris serta mengambil tindakan undang-undang yang bersesuaian terhadap unit-unit yang enggan membayar hutang penyelenggaraan,” katanya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk tujuan migrasi meter air sebagai insentif untuk penduduk melunaskan hutang.
Air Selangor baru-baru ini melaksanakan penguncian bekalan air di Apartment Putra Ria ekoran bayaran bil air berjumlah RM170,000 yang belum dilunaskan.
Selain itu, rekod pengurusan juga mempunyai hutang bayaran pelenggaraan sebanyak RM2.4 juta melibatkan 358 unit kediaman.