WE Communications secara rasmi perluas perkhidmatan ke Malaysia
KUALA LUMPUR – Peneraju perundingan komunikasi bebas global WE Communications (WE), secara rasminya mengembangkan perkhidmatannya ke Malaysia melalui syarikat WE, Chase Advisors.
Ketua Pegawai Eksekutif Antarabangsa WE, Kass Sells, berkata, Malaysia adalah pasaran penting untuk perniagaan yang berkembang di peringkat serantau dan global.
“Langkah strategik itu adalah sebagai tindak balas kepada permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan komunikasi dan advokasi serantau merentasi pelbagai industri, termasuk barangan pengguna, kewangan, penjagaan kesihatan dan teknologi.
“Dengan pengembangan pesat kelas pertengahan Asia Tenggara, ekosistem digital dinamik dan hubungan ekonomi yang kukuh antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia, inilah masa yang sesuai untuk WE memperdalam kehadiran kami di sini dan memanfaatkan peluang untuk pertumbuhan di seluruh rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, pelancaran WE Communications (WE) di Malaysia disempurnakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Chase Advisors akan menawarkan perkhidmatan komprehensif WE, termasuk advokasi dasar dan nasihat, data dan analitik, pembabitan pemegang taruh dan komunikasi strategik.
Pejabat itu akan diketuai oleh Pengarah Urusan Malaysia, Kanesan Veluppillai dan disokong oleh pasukan profesional komunikasi yang berpengalaman.
Pengarah Urusan Eksekutif Serantau bagi Asia-Pasifik WE dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Avian WE, Nitin Mantri, berkata, berikutan penguasaan media sosial, perniagaan memerlukan rakan kongsi dipercayai untuk membantu mereka mengemudi landskap yang semakin kompleks.
Beliau berkata, campuran bakat tempatan yang berpengalaman digabungkan dengan pakar global memberi kelebihan.
“Saya teruja untuk melihat karya hebat yang akan keluar dari pasukan Kuala Lumpur kami,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Chase APAC, Manash Neog, berkata, Malaysia memainkan peranan strategik dalam perdagangan global dan infrastruktur digital.
Katanya, perluasan ke Malaysia adalah langkah seterusnya dalam strategi pertumbuhan Asia Tenggara, dan kami menyasarkan kepada pertumbuhan selanjutnya ke Indonesia.
Tambah Kanesan, pasukannya di Malaysia akan membawa banyak pengetahuan dalam pasaran tempatan dinamik dan persekitaran kawal selia.
“Kami tidak sabar-sabar untuk menyampaikan pandangan dan strategi yang akan membantu pelanggan kami berkembang maju dalam persekitaran yang berkembang pesat ini,” katanya.