Berita Semasa

DBKL kaji tempatkan anggota di Pasar Borong Selayang, KL setiap hari

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membuat kajian terperinci mengenai cadangan untuk menempatkan anggotanya di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, setiap hari.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah,  penempatan penguat kuasa DBKL di kedua-dua pasar itu boleh mengelakkan daripada etnik Rohingya daripada berniaga di pasar berkenaan walaupun sudah diserbu beberapa kali sebelum ini.

Katanya, cadangan ini dibuat berdasarkan makluman yang diterima daripada peniaga dan orang awam di kawasan berkenaan.

“Kajian ini dibuat berdasarkan cadangan daripada peniaga dan orang awam di sana, yang berharap supaya perkara ini dapat diatasi dengan segera.

“Bagaimanapun, kita masih perlu mengambil perhatian mengenai beberapa perkara seperti kekuatan anggota yang kita ada, agar ia tidak menimbulkan masalah lain pula,” katanya memetik laporan Bernama.

Tambahnya lagi, hasil kajian itu, DBKL berharap satu program yang lebih komprehensif berkaitan penguatkuasaan di dua pasar berkenaan dapat dijalankan agar ia dapat memberi kesan yang positif dan berkesan.

“Pada masa ini, Mahadi berkata, DBKL sentiasa memantau pergerakan peniaga etnik Rohingya melalui penggunaan kamera litar tertutup (CCTV),” ujarnya lagi.

Sebelum ini, tular satu video memaparkan Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain meninjau keadaan di Pasar Borong Selayang.

Beliau mendakwa, pasar itu kini dibanjiri dengan peniaga warga Rohingya yang  menjalankan perniagaan sesuka hati tanpa diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Show More

Related Articles

Back to top button