Berita Semasa

Malaysia hantar pasukan peninjau khas ke Syria

KUALA LUMPUR – Malaysia menghantar seramai 21 anggota delegasi Pasukan Peninjau Khas ke Syria, bagi melakukan penilaian dan mengumpul maklumat mengenai bentuk bantuan yang diperlukan selepas negara itu dilanda gempa bumi baru-baru ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pasukan tersebut terdiri daripada anggota dari pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, pasukan berkenaan akan membuat tinjauan di kawasan tersebut dan menghantar laporan dengan kadar segera, bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

“Pasukan yang akan pergi ke Syria ini adalah pasukan yang dibentuk daripada pelbagai agensi, pasukan termasuklah daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Bulan Sabit Merah dan Mercy Malaysia.

“Ini bukan pasukan yang pergi sekadar buat  tinjauan biasa. Memandangkan laporan awal yang kita dapat keadaan di Syria itu agak sukar, sebab itu pasukan ini akan membuat penilaian, tinjauan dan akhirnya menghantar laporan tersebut dengan kadar segera dan ambil tindakan susulan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelepasan Pasukan Peninjau Khas yang bertolak ke Syria dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Tambahnya lagi, pasukan berkenaan juga terdiri daripada mereka yang pakar dalam dalambidang keselamatan, kesihatan, logistik dan mencari dan menyelamat (SAR).

Mengulas lanjut katanya, kebenaran untuk memasuki Syria telah diperoleh selepas sekatan yang dikenalan ke atas negara itu telah dilonggarkan bagi membenarkan bantuan kemanusian dihulurkan kepada mereka.

“Kita telah mendapat kebenaran masuk apabila sekatan itu ditarik balik jadi memudahkan gerak kerja kita mengharapkan pihak kerajaan di sana membantu perjalanan pasukan kita.

“Mereka akan pergi Istanbul dulu kemudian ke Beirut dan akan naik kenderaan darat ke Syria,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button