Berita Semasa

YDPA harap Anwar PM terakhir di bawah pemerintahannya

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan harapan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri terakhir yang dilantik di bawah pemerintahan Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah sejak memegang tampuk pemerintahan negara bermula 31 Jan 2019, baginda telah menggalas amanat berat untuk memilih dan melantik empat perdana menteri berbeza bermula dengan Perdana Menteri ke-7 Tun Dr Mahathir Mohamad; Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Anwar.

“Beta telah bersemayam di atas takhta singgah sana kerajaan Malaysia bermula pada 31 Jan 2019. Sehingga ke hari ini, beta telah melalui pelbagai peristiwa dan pengalaman yang sukar untuk beta lupakan.

“Terpahat dalam sejarah negara bahawa beta adalah merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang telah diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang perdana menteri bersama empat jemaah menteri yang berlainan.

“Beta berharap Perdana Menteri yang ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta sebelum beta berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah baginda juga tidak berniat untuk mencampuri urusan politik negara mahupun mengatur percaturan landskap politik tanah air.

Namun baginda bertitah pada pengamatan Seri Paduka, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada Pilihan Raya Umum ke-15 juga akan dapat dielakkan.

“Lebih penting lagi kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya boleh dielakkan jika sekiranya ahli-ahli yang berhormat dan para ahli politik negara bersedia untuk mengetepikan perbezaan dan bersatu-padu semata-mata atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat beta dan negara yang kita cintai ini.

“Pada usia (kemerdekaan) 66 tahun, kita sepatutnya telah matang untuk menjadikan perbezaan yang unik ini sebagai rencah utama dalam pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang saling sayang-menyayangi, menghormati antara satu dengan yang lain, toleran dan hidup dalam sebuah kesepaduan yang utuh,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah sekiranya kepelbagaian, kemajmukan dan kekusutan politik berterusan menjadi punca perbalahan dan perpecahan, Seri Paduka khuatir suasana damai dan kemajuan yang didambakan tidak akan menjadi kenyataan buat selama-lamanya.

Show More

Related Articles

Back to top button