Berita Semasa

Aksi gelek: Akmal Saleh desak Penganjur Star Vendors mohon maaf

MELAKA – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Muhamad Akmal Saleh mendesak pihak penganjur acara Star Vendors Foodstival Melaka 2023 membuat permohonan maaf susulan aksi gelek mengghairahkan yang berlaku di festival itu, baru-baru ini.

Muhammad Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata, penganjur festival itu juga perlu diharamkan daripada menganjurkan sebarang acara di negeri ini.

Katanya, tindakan tersebut adalah melampau dan jelas tidak menjaga sensitiviti masyarakat negeri Melaka.

“Pihak penganjur Star Vendors di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) perlu bertanggungjawab dan aktiviti murahan seperti ini tidak diperlukan dan perlu ditentang.

“Kami mendesak agar permohonan maaf dari pihak penganjur dan penganjur perlu di haramkan untuk mengadakan sebarang anjuran acara di dalam negeri Melaka,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasminya semalam.

Terdahulu tular di laman sosial memaparkan seorang pempengaruh bersama dua individu lain menyampaikan lagu dangdut dan memperagakan aksi gelek.

Aksi tersebut dikatakan berlaku ketika acara Starvendors Foodstival Melaka 2023 yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu di MITC.

Show More

Related Articles

Back to top button