Berita Semasa

Kerajaan rancang beli dua buah kapal selam

KOTA KINABALU – Kerajaan merancang untuk membuat perolehan dua buah kapal selam di bawah Pelan Transformasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ’15 to 5′.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Hasan berkata, aset strategik tersebut mempunyai kelebihan tersendiri dalam memelihara keselamatan maritim negara.

Tambahnya, aset berkenaan mampu melonjakkan kemampuan TLDM seiring keperluan strategi pertahanan maritim dalam menangani suasana geostrategi serantau dan global, khasnya isu berkaitan Laut China Selatan.

Untuk rekod, TLDM kini mengoperasikan dua buah kapal selam kelas Scorpene iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak.

“Melalui Pelan Transformasi TLDM 15 to 5, TLDM merancang memperolehi sebuah lagi kapal selam dalam Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK14) 2031-2035, manakala sebuah lagi dalam RMK15 2036-2040.

“Perancangan jangka panjang permodenan armada TLDM ini termasuk perolehan kapal permukaan lain sesungguhnya akan memantapkan lagi keupayaan TLDM dalam menghadapi dimensi peperangan alaf baru,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Pangkalan TLDM di Sepanggar dan Kem Infantri 5 Division di Lok Kawi, hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button